244

 

 

 

 

 

 

 

 

DIALOG ANTARA

PROFESOR ATEIS DAN

PELAJAR MUSLIM

 

 

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

 

Berikut merupakan terjemahan sebuah buku berjudul "Siapa Yang Monyet?" untuk mengesahkan kebenaran ajaran Islam mengenai asal-usul manusia. Ia merupakan satu buku panduan yang penting dan mustahak untuk semua orang yang mahu memahami konsep asal kewujudan manusia menurut sudut pandang Islam. Ia juga sesuai untuk semua pelajar.

 

Senario berikut berlaku di sebuah institut pendidikan:

 

"Mari saya jelaskan masalah sains dengan Tuhan ..." Profesor falsafah berfahaman ateis itu berhenti sejenak di hadapan para pelajar, kemudian meminta seorang pelajar barunya berdiri. "Kamu seorang Muslim, benarkan wahai anak muda?"

 

"Ya, tuan."

 

"Jadi, kamu percayakan Tuhan?"

 

"Tentu saja!"

 

"Adakah Tuhan itu baik?"

 

"Benar! Tuhan itu baik!"

 

"Adakah Tuhan itu Maha Kuasa? Dapatkah Tuhan melakukan apa sahaja?"

 

"Ya." 

 

Profesor tersebut tersenyum lebar dan berfikir sejenak.

 

"Ini untuk kamu: Katakan ada seseorang di sini yang sakit dan kamu mampu menyembuhkannya. Kamu dapat melakukannya. Adakah kamu akan membantu dia? Adakah kamu akan cuba?"

 

"Ya, tuan, saya akan cuba."

 

"Jadi, kamu seorang yang baik ...!"

 

"Saya tidak mengatakan begitu."

 

"Mengapa tidak? Kamu sudi membantu seseorang yang sakit dan cacat jika mampu... Malah, kebanyakan daripada kita akan berbuat begitu jika mampu... tetapi Tuhan tidak."

 

[Tiada jawapan.]

 

"Tuhan tidak, bukankah begitu? Saudara saya dulunya seorang Muslim yang meninggal dunia akibat kanser meskipun dia berdoa kepada Tuhan untuk menyembuhkannya. Bagaimana Tuhan ini baik? Hmm? Dapat kamu jawab hal itu?"

 

[Tiada jawapan.]

 

Lelaki tua itu menunjukkan rasa simpati. "Tidak, kamu tidak dapat bukan?"

Profesor itu meminum seteguk air dari gelas di atas mejanya untuk memberi ruang kepada pelajar itu bertenang. Dalam falsafah, anda tidak perlu terburu-buru dengan orang-orang baru.

 

"Mari mulakan sekali lagi, anak muda. Adakah Tuhan baik?"

 

"Err... Ya."

 

"Adakah Syaitan baik?"

 

"Tidak."

 

"Dari mana datangnya Syaitan?"

 

Pelajar itu tergugup-gugup. "Dari... Tuhan..."

 

"Benar. Tuhan menciptakan Syaitan, bukankah begitu?"

 

Lelaki tua mengusap rambutnya yang tipis dan mengalih pandangan kepada pelajar lain yang tersenyum puas.

 

"Tuan-tuan dan puan-puan, saya rasa kita akan alami banyak keseronokan semester ini."

 

Dia berpaling semula kepada pelajar Muslim. "Beritahu saya, anak muda. Adakah wujud kejahatan di dunia ini?"

 

"Ya, tuan."

 

"Kejahatan ada di mana-mana, bukan? Adakah Tuhan mencipta segala-galanya?"

 

"Ya."

 

"Siapa yang menciptakan kejahatan?"

 

[Tiada jawapan.]

 

"Adakah penyakit di dunia ini? Kebejatan moral? Kebencian? Keburukan? Semua perkara yang mengerikan – adakah semua itu wujud di dunia ini?"

 

Pelajar Muslim hanya tunduk memandang kakinya. "Ya."

 

"Siapa yang menciptakan mereka semua?"

 

[Tiada jawapan.]

 

Tiba-tiba profesor itu menjerit kepada para pelajar. "SIAPA YANG MENCIPTAKAN MEREKA? TOLONG BERITAHU SAYA!" Profesor menghampiri dan merenung wajah pelajar Muslim tadi. Beliau bercakap dalam suara kecil dan perlahan, "Tuhan menciptakan semua kejahatan, bukankah begitu anak muda?"

 

[Tiada jawapan.]

 

Pelajar Muslim cuba untuk melawan pandangan profesor, tetapi gagal. Tiba-tiba pensyarah tersebut melangkah ke hadapan kelas seperti harimau kumbang tua yang gagah.

 

Pelajar di dalam kelas terpesona. "Beritahu saya ..." sambung beliau, "Bagaimana mungkin Tuhan ini baik jika Dia mencipta semua kejahatan sepanjang masa?" Profesor menghalakan tangannya ke sekeliling untuk melingkungi semua kejahatan dunia.

 

"Semua kebencian, kekejaman, kesakitan, penyeksaan, semua kematian yang siasia dan keburukan, dan semua penderitaan yang dicipta oleh Tuhan baik ini ada di seluruh dunia – bukahkah begitu anak muda?"

 

[Tiada jawapan.]

 

"Tidakkah kamu melihatnya di semua tempat? Huh?" Profesor berhenti sejenak. "Tidakkah kamu melihatnya?"

 

Profesor menyondong ke muka pelajar Muslim dan berbisik, "Adakah Tuhan baik?"

 

[Tiada jawapan.]

 

"Adakah kamu percaya kepada Tuhan, anak muda?"

 

Suara pelajar itu cuba menentangnya, namun dengan suara yang terputus-putus, "Ya profesor, saya percaya."

 

Orang tua itu menggeleng sedih. "Sains mengatakan bahawa ada lima deria yang kamu gunakan untuk mengenal dan memerhati dunia di sekeliling kamu. Kamu tidak pernah melihat Tuhan, bukan?"

 

"Tidak, tuan. Saya tidak pernah melihat-Nya."

 

"Jadi ceritakan jika kamu pernah mendengar Tuhan kamu?"

 

"Tidak, tuan. Saya tidak pernah."

 

"Adakah kamu pernah menyentuh Tuhan kamu, merasa Tuhan kamu, atau menghidu Tuhan kamu? Malah, apakah kamu ada apa-apa persepsi indera tentang Tuhan kamu?"

 

[Tiada Jawapan.]

 

"Tolong jawab soalan saya."

 

"Tidak, tuan. Saya khuatir tiada jawapan."

 

"Kamu KHUATIR ... tiada jawapan?"

 

"Tiada, tuan."

 

"Tapi, kamu masih percaya kepada-Nya?"

 

"Ya ..."

"Itu perlukan KEYAKINAN!" Profesor berkenaan tersenyum kepada pelajarnya. "Menurut aturan protokol yang empirik, boleh diuji dan dibuktikan, sains mengatakan bahawa Tuhan kamu tidak wujud. Apa pendapat kamu tentang hal itu, anak muda? Di mana Tuhan kamu sekarang?"

 

[Pelajar itu membisu.]

 

"Sila duduk!"

 

[Pelajar Muslim itupun duduk, disentak dengan kekalahan yang nyata. Walau bagaimanapun, 'pertolongan Allah SWT dalam genggaman dan kemenangan pasti datang.']

 

Seorang lagi Muslim yang memakai serban, berjanggut dan mudah dikenali sebagai Muslim melalui pakaiannya, mengangkat tangan.

 

"Profesor, bolehkah saya menjelaskan kepada kelas?"

 

Profesor menoleh dan tersenyum. "Ah! Seorang lagi Muslim barisan hadapan. Seorang fundamentalis, saya kira. Mari, mari, anak muda! Kongsikan sedikit kebijaksanaan kepada mereka!"

 

Pemuda Muslim tidak menghiraukan sindiran profesor itu. Dia melihat ke sekitar kelas, menanti perhatian para pelajar lalu berpaling ke arah profesor.

 

"Tuan, tuan telah tunjukkan beberapa hal menarik. Dengan izin tuan, saya ingin menanganinya satu persatu. Subjek ini perlu ditangani secara logik dan saintifik, bukan secara emosi. Perkara pertama adalah doktrin asas tuan bahawa Tuhan tidak wujud. Oleh itu, alam semesta bermula dengan doktrin 'Big Bang' dan manusia akhirnya wujud melalui proses evolusi. Bukankah itu kepercayaan tuan, profesor?"

 

"Anak muda, itu tidak perlu dipersoalkan lagi. Ada bukti saintifik yang cukup untuk perkara ini. Apa pendapat kamu?"

 

"Usah terburu-buru. Mari kita gunakan logik, fikiran dan hujah saintifik yang betul. Sebagai pengenalan, saya ingin mengatakan bahawa saya sengaja menggunakan perkataan 'doktrin' kerana pada hakikatnya pendokong pseudo-sains mempromosikan ateisme sebagai satu agama. Saya ada satu soalan untuk profesor. Kita ada jutaan bunga api, peluru dan bom di dunia ini. Pernahkah tuan mendengar mana-mana di antaranya yang meletup sendiri, atau adakah tuan akur bahawa meskipun ramuannya mungkin sudah wujud dalam satu bekas, namun satu mekanisme diperlukan untuk mencetuskan letupan? Dua faktor perlu hadir: pertamanya, ramuan sukatan bahan yang betul dalam persekitaran yang sesuai, dan keduanya, seseorang perlu mencetuskan letupan tersebut, sama ada melalui sebatang mancis, ketukan pistol atau percikan elektrik. Misalannya, jika seseorang mengatakan bahawa dia ada peluru di tangannya dan ia meletus sendiri lalu membunuh seseorang yang duduk berdekatan, adakah ada saintis akan menerima kenyataan lucu sebegitu?"

 

"Sudah tentu tidak. Apa yang cuba kamu katakan?"

 

"Tentu saja, lalu jika tuan mahu kami percayakan Big Bang, bahawa satu letupan besar tercetus sendiri tanpa ada yang ‘menarik picu’ atau ‘menyalakan mancis’ atau ‘memercikkan elektrik’, jadi terangkan kepada kami kenapa letupan yang lebih kecil tidak berlaku di seluruh dunia tanpa pengaruh luaran? Mana-mana tuntutan saintifik mestilah dapat diaplikasikan dalam hal lain untuk ia diterima pakai."

 

Mulut profesor ternganga, namun tiada perkataan keluar.

 

"Kita juga tahu bahawa secara saintifik mustahil untuk zarah menciptakan dirinya. Meja kayu ini misalannya. Ia tidak wujud sendiri. Beberapa agen luaran harus membuatnya. Malah kayu pun tidak wujud dengan sendirinya. Sedangkan benih pun datangnya dari beberapa sumber dan tidak dapat wujud dengan sendirinya. Bolehkah tuan jelaskan kepada kami bagaimana materi asal wujud – materi yang dinyatakan oleh pendokong pseudo-sains sebagai dicetus oleh letupan misteri Big Bang untuk menghasilkan benda hidup pertama? Dan lagi, kenapa mereka gagal menghasilkan semula fenomena ini di dalam makmal? Profesor, tuan pasti tahu bahawa mana-mana hujah saintifik mestilah boleh diaplikasikan semula dalam hal lain untuk ia dipercayai."

 

"Anak muda, adalah naif untuk berfikir bahawa kita boleh melakukan perkara itu. Kita tiada akses untuk tenaga yang dilepaskan bersama Big Bang, jika ada pasti kita juga mampu manghasilkan fenomena serupa."

 

"Profesor, tuan belum beritahu kami siapa yang menyediakan ramuan asas letupan, dan tuan gagal jelaskan pada kami siapa sebenarnya yang menekan butang, menarik picu atau menyalakan percikan untuk Big Bang berlaku. Dari manakah asal tenaga raksasa yang tuan katakan ini? Mari, mari, profesor! Marilah kita bincangkan secara saintifik mengenainya. Ya, profesor, ia memerlukan KEYAKINAN yang banyak dalam ajaran doktrin pendokong pseudo sains untuk mempercayai Big Bang. Apakah tuan mengharapkan kami untuk membuang prinsip-prinsip saintifik yang betul dan percayakan semua keajaiban ini secara membuta-tuli atas nama prinsip-prinsip saintifik yang pasti?"

 

[Tiada jawapan.]

 

"Profesor, jika tuan tidak keberatan, sekarang saya ingin menyentuh doktrin evolusi yang disebarkan oleh pendokong pseudo-sains. Sedarkah tuan bahawa tiada fosil yang mengaitkan keturunan manusia dengan beruk dan pencarian masih diteruskan untuk ‘Rantaian yang Hilang’?"

 

"Ya, tetapi ada banyak bukti lain ..."

 

"Maaf mengganggu, profesor. Tuan mengakui tiada kaitan langsung. Tuan juga harus akur bahawa tiada fosil membayangkan proses-proses peralihan daripada beruk kepada manusia. Dan saya juga pasti tuan tahu tentang Pembohongan Piltdown, profesor?"

 

"Piltdown ...? Piltdown ...?" 

 

“Biar saya ingatkan tuan, profesor. Beberapa fosil telah ditemui di satu tempat bernama Piltdown di England. Fosil-fosil tersebut menunjukkan semua ciri yang selama ini dicari oleh pendokong pseudo-sains dan ateisme sebagai ‘Rantaian yang Hilang’ dalam rentetan evolusi. Seluruh dunia telah dipengaruhi supaya mempercayainya, bahkan mereka yang skeptik juga terperdaya – sehinggalah lebih kurang 40 tahun kemudian, didapati bahawa seseorang daripada kumpulan saintis telah memalsukan fosil tersebut agar ia kelihatan seperti pautan yang hilang. Ia adalah satu pembohongan besar, penipuan besar-besaran yang dipalsukan oleh saintis tuan untuk cuba meyakinkan dunia bahawa ateisme adalah benar dan manusia berasal daripada beruk! Jika tuan ingin pencerahan lanjut mengenainya, tuan boleh membaca karya Profesor Tobias dari Afrika Selatan berkenaan butiran pemalsuan."

 

Muka profesor menjadi putih kelabu. Masih tiada komen.

 

"Berbicara tentang pemalsuan – profesor, tahukah tuan apa itu plagiarisme? Bolehkah tuan terangkan kepada kelas apa itu plagiarisme?"

 

Profesor menjawab teragak-agak, "Plagiarisme ialah mengambil hasil kerja orang lain dan menyebarkannya sebagai hasil sendiri."

 

"Tepat sekali. Terima kasih, profesor. Jika tuan berani melakukan sedikit kajian yang jujur dan benar, tuan akan dapati bahawa negara-negara Barat telah memplagiat semua kerja-kerja saintifik SEBENAR umat Islam kemudian mengembang dan menyebarkannya sebagai 'penemuan' sendiri, yang membawa kepada kemajuan sains moden. Tuan tidak perlu percaya kata-kata saya. Hanya tulis kepada Pusat Pengajian Sains, Al-Humera, Muzzammil Manzil, Dodhpur, Aligarh, India, dan mereka akan dengan senang hati menghantar semua tulisan berkenaan untuk membuktikan hal ini."

 

Kini pelajar di dalam kelas memberi tumpuan penuh terhadap kata-kata pelajar Muslim dan mereka tergesa-gesa menulis alamat tersebut.

 

"Sekarang mari kita kembali kepada doktrin evolusi yang disemai oleh pendokong pseudo-sains di seluruh dunia. Intipati semua doktrin mereka adalah konsep 'pilihan semulajadi'. Ini bermakna bahawa spesis menyesuaikan diri dengan perubahan secara morfologi dan fisiologi, lalu diwariskan kepada generasi berikutnya demi kelangsungan hidup; manakala spesis yang tidak dapat menyesuaikan diri akan pupus. Contoh klasik adalah dinosaur tidak dapat bersaing dengan haiwan kecil dan tangkas yang telah berkembang secara ‘ajaib’. Maka haiwan yang lebih besar dan perlahan pupus, sementara haiwan yang lebih kecil terselamat. Sepanjang proses evolusi juga, apa yang tidak berguna akan hilang, seperti ekor dan kuku, digantikan dengan spesis tidak berekor yang bertangan untuk memegang, dan hasilnya adalah manusia. Tuan pun berpegang kepada doktrin ini, bukankah begitu profesor?"

 

Profesor tua itu tidak pasti mahu mengangguk atau tidak, kerana dia tidak pasti dari sudut mana serangan seterusnya akan datang!

 

"Mari, mari, profesor! Ini adalah asas doktrin evolusi yang ditanam oleh saintis tuan pada otak orang-orang yang tidak berwaspada. Mari kita cabar pseudo-sains ini dengan sains sebenar. Profesor, adakah mana-mana saintis yang pernah menghasilkan spesies hidupan baru di makmalnya dengan mengawal dan mengubah persekitaran? Ingat, sains hanya boleh menerima sesuatu doktrin jika ia dapat dibuktikan semula."

 

[Tiada jawapan.]

 

"Tentunya tidak, walaupun percubaan telah dibuat, pasti! Mari kita pergi selangkah ke hadapan: Kita tahu bahawa orang-orang Yahudi menyunat anak lelaki mereka tidak lama selepas kelahirannya. Kita juga tahu bahawa berkhatan telah diamalkan oleh mereka sejak zaman Nabi Ibrahim (Sejahtera ke atas baginda). Akibatnya, corak penyakit tertentu telah berubah. Mana-mana anak lelaki dengan kecenderungan pendarahan yang diwarisi akan mati akibat pendarahan dan penyakit ini tidak akan diwariskan kepada generasi akan datang. Tuan setuju, profesor?"

 

Memikirkan bahawa ini adalah titik yang memihak kepada beliau, profesor tersebut mengangguk dengan semangat.

 

"Jadi, beritahu kami, profesor, selepas ribuan tahun menyunat semua bayi lelaki, kenapa kanak-kanak Yahudi tidak dilahirkan tanpa kulup? Walaupun keseluruhan kulup tidak hilang, menurut doktrin pilihan semula jadi saintis tuan, seharusnya terdapat beberapa tanda kulup yang semakin kecil! Tidakkah begitu, profesor? "

 

Profesor hanya merenung kosong ke hadapan, tidak sedar apa yang melanda!

 

"Profesor, adakah tuan mempunyai anak?"

 

Sedikit lega dengan perubahan topik, profesor cuba mengumpul semula keyakinannya. "Ya, ada. Dua lelaki dan seorang perempuan." Malah profesor tersenyum apabila dia menyebut tentang anak-anaknya.

 

"Profesor, adakah tuan menyusukan mereka semasa mereka masih bayi?"

 

Terkejut dengan soalan bodoh itu, profesor menjadi malu.

 

"Soalan bodoh! Tentu saja tidak! Isteri saya yang menyusukan mereka." 

 

"Profesor, pernahkah saintis ateis menemui mana-mana lelaki yang menyusukan bayi?"

 

"Soalan bodoh lagi. Hanya perempuan yang menyusukan bayi." 

 

"Profesor, tanpa membogelkan tuan, saya pasti tuan ada dua puting, sama seperti lelaki lainnya. Mengapa ia tidak hilang disebabkan lebihan? Menurut doktrin pilihan semula jadi, perkara tidak berguna seperti puting pada lelaki seharusnya telah hilang sejak ribuan – jika bukan jutaan – tahun yang lalu! Profesor,” pelajar Muslim itu bersuara perlahan, dia tidak menjerit dan dia tidak memandang profesor, "Saya yakin bahawa berdasarkan hujah saintifik yang benar – dan bukan bersandarkan pseudo sains – tuan akan bersetuju bahawa doktrin evolusi hanyalah satu longgokan sampah?"

 

Muka profesor berubah warna dan hanya mampu tergagap tidak berdaya.

 

Pelajar Muslim memandang para pelajar dan memberi sedikit senyuman di bibirnya. "Sebenarnya, seseorang boleh pergi lebih jauh dan mengatakan bahawa sesiapa saja yang percaya dia berasal dari beruk, pasti dia seekor monyet!"

 

Beberapa detik diperlukan untuk kumpulan pelajar menangkap maksud jenaka pelajar Muslim berkenaan, dan seketika kemudian gelak tawa mereka pun berderai. 

 

Apabila gelak ketawa para pelajar mula reda, pelajar Muslim menyambung. Sambil berpaling ke arah profesor, dia berkata, "Terlalu banyak lompang dalam doktrin evolusi yang bocor seperti ayak. Walau bagaimanapun, masa semakin suntuk – saya harus segera ke masjid untuk menunaikan solat – jadi kita tidak akan berurusan dengan semua mitos itu sekarang. Mari kita pergi ke topik moral yang tuan bangkitkan. Namun sebelum itu, mari kita bincang kejadian tentang saudara tuan yang mati akibat kanser. Jika tuan kecewa kerana dia meninggal dunia, maka tuan benar-benar bodoh. Hakikat bahawa manusia, sepertimana juga benda hidup yang lain pasti akan mati adalah fakta yang diketahui, ia dipercayai oleh semua orang, tanpa mengira sama ada mereka percaya kepada Tuhan atau tidak, dan tiada siapapun yang dapat menafikan proses kematian. Kedua, tuan tidak boleh begitu naif untuk menolak proses penyakit - sama ada kanser atau mana-mana penyakit lain, atau kemalangan, dan lain-lain – sebagai tanda untuk proses kematian. Bantahan tuan berpunca daripada salah faham bahawa 'kebaikan' adalah pengganti penderitaan, dan menyebabkan penderitaan adalah 'kejam'. Jika begitu profesor, maka tuan terpaksa bersetuju bahawa orang paling kejam di dunia ialah saintis penyelidik perubatan yang menggunakan haiwan untuk semua eksperimen dahsyat mereka. Pasti tuan tahu beribu-ribu haiwan diseksa dalam pelbagai cara dan diseksa demi membuktikan atau menyangkal tuntutan saintifik dan perubatan tertentu? Tidakkah eksperimen ini kejam? Tuan masih dengan saya, profesor?"

 

Profesor kelihatan agak tenat. Pelajar Muslim mendekati dan memberinya sedikit air untuk diminum.

 

"Profesor, saya akan tanya tuan satu lagi soalan yang jelas. Tuan tahu bahawa peperiksaan – ujian diberikan kepada pelajar bagi membolehkan mereka untuk lulus dan dinaikkan ke gred seterusnya?"

 

Profesor hanya mengangguk kepalanya.

 

"Seseorang pelajar perlu membuat pengorbanan tertentu, malah hidup jauh dari rumah, demi ke sesebuah universiti atau kolej; dia terpaksa melupakan semua keselesaan di rumah; dia dibebani dengan kerja; dia perlu mengorbankan masa lapang dan tidur demi membuat persediaan menghadapi peperiksaan; kemudian berdepan dengan pelbagai soalan yang sukar untuk dijawab malah mungkin saja ditanya bertalu-talu dalam ujian lisan – dan dia tetap harus membayar institusi tersebut untuk semua penyeksaan yang dilalui! Tuan tidak menganggap semua ini kejam? Apakah seseorang profesor itu 'baik' atas semua penderitaan mental dan fizikal yang diletakkan terhadap pelajarnya?"

 

"Saya tidak faham maksud kamu. Tentunya pihak institusi dan profesor membantu pelajar dengan meletakkan mereka dalam proses latihan demi melayakkan diri ke dalam bidang-bidang tertentu. Hanya orang yang berfikiran singkat sahaja akan membantah peperiksaan ke atas pelajar, tanpa mengira pengorbanan mereka."

 

Pelajar Muslim menggeleng sedih. "Profesor, amat menakjubkan cara tuan memahami keperluan ujian dan peperiksaan apabila tuan menetapkannya, tetapi tuan tidak dapat melihat kebijaksanaan yang sama apabila Allah SWT menetapkan cubaan dan ujian untuk makhluk-Nya. Saudara tuan misalannya, jika dia bersabar terhadap kesakitannya lalu meninggal dalam iman, dia akan mendapat ganjaran di syurga atas semua penderitaan yang dilalui di dunia ini. Sehinggakan dia berharap mengalami penderitaan ratusan kali lagi agar ganjarannya lebih besar, balasan yang tidak pernah dilihat dan dibayangkan! Malang sekali, 'hanya orang yang berfikiran singkat’ – dan orang yang jahil – akan menolak ujian yang diberikan Tuhan, ingat bahawa ganjaran abadi menanti mereka yang berjaya." 

 

"Syurga? Huh! Pernahkah kamu melihat syurga, menyentuh, menghidu, merasa, atau mendengarnya? Menurut hukum protokol yang empirik, boleh diuji dan dibuktikan, sains mengatakan bahawa syurga kamu tidak wujud." 

 

"Kita juga akan bincangkan hal itu, insya-Allah. Mari kita teruskan. Beritahu saya profesor, adakah haba itu wujud?"

 

Profesor itu kini tenang dan berasa lebih yakin. "Ya, haba wujud.”

 

"Adakah sejuk wujud?"

 

"Ya, sejuk juga ada."

 

"Tidak, tuan. Tidak ada!"

 

Profesor hanya merenung kosong. Pelajar tersebut menjelaskan, "Tuan boleh memiliki haba, lebih banyak haba atau sedikit haba, tiada haba di kutub bertentangan – tetapi kita tiada sesuatu yang dipanggil 'sejuk'. Kita dapat capai 458 darjah di bawah sifar, yang tiada haba, tetapi kita tidak dapat pergi lebih jauh lebih daripada itu. Tidak ada sesuatu seperti 'sejuk', jika tidak, kita pasti mampu untuk pergi lebih sejuk daripada 458 darjah di bawah sifar.  Begini tuan, 'sejuk' hanyalah satu perkataan yang kita guna untuk menjelaskan ketiadaan haba. Kita tidak dapat mengukur kesejukan. Kita dapat menilai haba dalam unit terma kerana ia adalah tenaga. Sejuk bukanlah lawan haba, tetapi ketiadaan haba semata-mata."

 

Sepi. Kedengaran bunyi pin terjatuh di dalam kelas.

 

Pelajar Muslim menyambung. "Apakah kegelapan itu wujud, profesor?" 

 

"Itu satu soalan bodoh, anak muda. Malam itu apa kalau bukan gelap? Apa yang kamu tahu...?"

 

"Jadi, tuan mengatakan kegelapan itu wujud?"

 

"Ya..."

 

"Salah lagi, tuan! Kegelapan bukan satu entiti – ia disebabkan oleh ketiadaan satu entiti. Ketiadaan cahaya. Seseorang boleh saja mempunyai cahaya yang samar, cahaya normal, cahaya terang atau cahaya memancar. Jika seseorang selalu ketiadaan cahaya maka dia tiada apa-apa, dan ini dipanggil kegelapan, bukan? Itulah maksud yang kita guna untuk mentafsir perkataan tesebut. Pada hakikatnya, bukan gelap. Jika benar, seseorang pasti mampu mewujudkan kegelapan dalam cara positif dan membuat kegelapan lebih gelap serta menyimpannya di dalam bekas. Bolehkah tuan mengisi balang dengan kegelapan yang lebih gelap untuk saya, profesor?"

 

"Boleh jelaskan pada kami maksud kamu, anak muda?"

 

"Ya, profesor. Maksud saya asas falsafah tuan tidak sempurna untuk dijadikan permulaan, sekaligus kesimpulan tuan juga pasti akan salah. Tuan tidak saintifik, tapi pseudo-saintifik!"               

Profesor tua naik berang. "Tidak sempurna...? Berani kamu...!"

 

Pelajar Muslim itu tenang dan bersahaja, lalu dia bersuara lembut seolah-olah sedang bercakap dengan seorang anak kecil. "Tuan, boleh saya jelaskan maksud saya?"

 

Kumpulan pelajar menganggukkan kepala dengan penuh minat. Mereka memberi tumpuan sepenuhnya. Profesor tiada pilihan selain bersetuju. "Jelaskan... oh, jelaskan..." Beliau melambaikan tangan acuh tak acuh dalam usahanya mencari kekuatan. Dia tiba-tiba berlembut sendiri. Semua pelajar senyap, menanti.

 

"Tuan berpegang pada prinsip dualiti,” jelas pelajar Muslim, “misalannya, ada kehidupan dan kematian, dua entiti berbeza, Tuhan yang baik dan Tuhan yang jahat. Tuan melihat konsep Tuhan sebagai satu entiti yang terbatas, satu entiti yang dapat diukur. Tuan, sains sendiri tidak berupaya menjelaskan apa itu satu pemikiran. Ia perlukan daya elektrik dan magnet, namun tidak pernah terlihat, hanya sedikit saja yang difahami. Melihat kematian sebagai lawan kehidupan bermakna jahil tentang hakikat bahawa kematian tidak dapat wujud sebagai satu entiti tersendiri. Kematian bukanlah lawan kehidupan, sebaliknya ketiadaan kehidupan semata-mata."

 

Anak muda itu mengambil akhbar dari meja pelajar lain. "Ini ialah satu daripada tabloid paling menjijikkan yang diusahakan oleh negeri ini, profesor. Adakah kerosakan moral itu wujud?"

 

"Tentunya wujud. Lihat saja sekarang..."

 

"Salah lagi, tuan. Begini, tidak bermoral bermaksud ketidakhadiran moral. Wujudkah ketidakadilan? Tidak, tuan. Ketidakadilan hanyalah bermakna ketiadaan keadilan. Wujudkah kejahatan?" Pelajar Muslim berhenti sejenak. "Bukankah jahat itu ketiadaan kebaikan?"

 

Muka profesor itu berubah merah. Beliau amat marah kerana terdiam sementara.

 

Pelajar Muslim menyambung. "Jika wujud kejahatan di dunia ini, profesor – dan kita semua setuju tentangnya – tentunya Tuhan melaksanakan beberapa kerja melalui agen kejahatan. Apakah kerja yang dilakukan Tuhan itu? Allah SWT berfirman dalam surah Al-Anbiya’ ayat 35 dalam Al-Quran:

 

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan, dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.

 

Islam mengajar bahawa kita dinilai untuk memilih yang baik di atas kejahatan.

 

Mengenai soalan tuan tentang syaitan: Dari mana datangnya syaitan? Dan Tuhan menciptakan syaitan, bukankah begitu? Disebutkan dalam Al-Quran bahawa syaitan tidak menjadi jahat, tetapi selepas dia menolak perintah Allah dan menjadi musuh manusia. Allah SWT berfirman dalam surah Ibrahim ayat 22: 

 

Dan berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu: "Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu; dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburuburu menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku dengan-Nya". Sesungguhnya orangorang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.

 

Profesor melawan. "Sebagai seorang saintis falsafah, saya tidak melihat perkara ini mempunyai kaitan dengan mana-mana pilihan; sebagai seorang realis, saya benarbenar tidak mengiktiraf konsep Tuhan atau mana-mana faktor teologi sebagai sebahagian daripada persamaan duniawi, kerana Tuhan tidak dapat dilihat."

 

"Saya sangka bahawa ketiadaan kod moral Tuhan mungkin salah satu fenomena paling nyata berlaku," jawab pelajar Muslim.

 

"Surat khabar menjana berbilion dolar dengan melaporkannya setiap minggu. Profesor, tuan cuba menyalahkan kejahatan dunia ini di bahu Tuhan – pada Tuhan yang tuan tidak percaya – yang merupakan satu percanggahan nyata. Walau bagaimanapun, mari kita analisis siapa sebenarnya yang bertanggungjawab menyebarkan kejahatan – mereka yang beriman dengan Tuhan, atau golongan yang tidak percaya? Kepercayaan asas yang dimiliki oleh seseoang Muslim adalah dibangkitkan pada Hari Pengadilan untuk menjawab semua tindakannya di dunia. Untuk setiap kebaikan yang dilakukan, dia akan mendapat ganjaran, dan setiap kejahatan yang telah dilakukan, dia akan bertanggungjawab. Setiap Muslim wajib percaya bahawa dia bertanggungjawab untuk tindakannya dan tiada orang lain akan menanggung bebannya di Hari Pengadilan. Konsep syurga sebagai ganjaran bagi orang-orang yang beriman dan neraka menjadi tempat tinggal golongan kafir, juga merupakan satu kepercayaan asas, sepertimana juga kepercayaan bahawa orang Islam sekalipun akan diazab atas kesalahan mereka. Profesor, konsep-konsep ini menghentikan jutaan Muslim daripada melakukan kesalahan. Kita semua tahu bahawa hukuman adalah penghalang jenayah yang kukuh. Tanpa konsep ini, kita tidak berupaya menjalankan urusan duniawi: denda, penalti, penjara adalah sebahagian daripada mana-mana sistem bertamadun. Di satu sudut lagi kita ada saintis ateis yang tidak meyakini konsep sebegini apabila ia dikaitkan dengan isu-isu moral. Tiada hari kiamat bagi mereka, tiada pertanggungjawapan, tiada ganjaran dan tiada hukuman. Mesej kepada orang ramai cukup jelas, yakni 'jika kamu dapat menerimanya maka kamu OK. Tiada apa yang perlu dibimbangkan’. Oleh kerana mereka menyatakan tidak ada perkara seperti dosa – dosa, dalam konteks kita, ertinya melanggar hukum-hukum Tuhan – setiap individu bebas melakukan apa sahaja yang diingini dan tiada tindakan boleh dilabelkan sebagai 'salah'. Biar saya jelaskan begini: para saintis ateis berkeras bahawa Tuhan tidak wujud. Jika Dia tidak wujud, maka Dia tidak boleh menetapkan hal yang benar dan perkara yang salah – justeru itu dosa tidak wujud – dosa bermakna menentang ajaran Tuhan. Jadi manusia bebas membuat peraturan sendiri, kod 'moral' sendiri. Maka lelaki 'berkahwin' dengan lelaki, wanita 'berkahwin' dengan wanita – yang menyebarkan AIDS dan penyakit lain adalah OK; perzinaan bukan lagi satu dosa selagi mereka yang terlibat 'akur'; sumbang mahram anak beranak juga tidak berdosa menurut logik ateis selagi pihak yang terlibat 'bersetuju', melihat perzinaan sesama ahli keluarga adalah satu dosa berdasarkan kod moral agama, sedangkan profesor secara mutlak menyatakan bahawa dia ‘sama sekali tidak mengiktiraf konsep Tuhan atau faktor teologi lain sebagai sebahagian daripada faktor duniawi'; membunuh bayi dalam rahim ibu mereka adalah dibenarkan – ia bermaksud memberikan ‘hak’ yang dimiliki wanita; dan sebagainya. Senarai 'peraturan' yang diluluskan oleh saintis sosial pseudo-sains yang berfahaman ateis tidak berkesudahan. Tahap kecurangan intelek mereka adalah untuk meletakkan semua kebejatan moral dan kotoran pada Tuhan! Mari kita lebih saintifik tentang keseluruhan isu ini, profesor. Ambil satu kumpulan orang yang meyakini Tuhan – yang percaya kepada-Nya sebagaimana Dia wajib diimani – dan ambil sekumpulan lagi orang yang mengikut fahaman ateistik tuan. Secara objektif, nilaikan siapa yang menyebarkan menyebarkan kejahatan. Saya tidak bermaksud untuk menyukarkan keadaan, tetapi mana-mana pemerhati yang tulus akan segera melihat bahawa pada hakikatnya, kelompok beriman kepada Tuhan yang menggunakan Hukum Allah Yang Maha Kuasa sebagai kod moral mereka menyebarkan kebaikan; sedangkan orang-orang yang membentuk peraturan 'moral relatif' mereka sendiri sebenarnya golongan yang menyebarkan kejahatan ke serata dunia."

 

Pelajar Muslim berhenti untuk kenyataan penting tersebut dicerna. Mata pelajar di dalam kelas terbuka luas setelah memahami hal ini dengan lebih jelas. Tiada siapa yang pernah menjelaskan isu penting sebegini kepada mereka sebelumnya, hanya disuap dengan hamburan cacian yang dilempar oleh media massa.

 

"Profesor, saya kagum tapi tidak terkejut pada sikap saintifik tuan terhadap moraliti. Saya kagum walaupun tuan percaya bahawa manusia berkembang daripada beruk, dia tidak akan berkelakuan seperti haiwan! Saya kagum walaupun tuan tidak percaya pada malaikat, tuan mengharapkan manusia untuk berkelakuan seperti malaikat dengan kerelaannya sendiri, tanpa bantuan kod moral Ilahi. Saya tidak terkejut kerana pemikiran yacau sebegitu memang dijangkakan dari golongan yang mempecayai ajaran palsu ateisme!"

 

Tepukan spontan bergema di dalam kelas.

 

"Kita sudah bincangkan tentang evolusi, professor. Pernahkan tuan memerhatikan evolusi dengan mata sendiri?"

 

Profesor mengetap giginya, merenung para pelajar dengan senyap dan keras.

 

"Profesor, memandangkan tiada siapa pernah memerhatikan proses evolusi berlaku dan tidak dapat membuktikan proses ini sebagai satu ikhtiar yang berterusan, bukankah tuan mengajar satu doktin – satu pegangan yang bocor seperti penyaring dan kurang penghargaan berbanding ajaran teologi lainnya? Ini adalah pseudosains, bukan sains, dan pendokongnya tidak lain hanyalah saintis yang jahil!"

 

Profesor menjadi tidak keruan. "Kurang ajar!" Beliau tercungap-cungap dan  mundar-mandir di hadapan para pelajar, akhirnya berjaya mendapat mengawal diri.

 

"Demi perbincangan falsafah kita, saya akan maafkan kebiadapan kamu, anak muda. Sekarang, kamu dah habis?" Desis profesor.

 

"Tuan, tuan tidak menerima etika moral Tuhan dalam melakukan kebenaran?"

 

"Saya percaya dalam apa yang ada – itulah sains."

 

"Maafkan saya tuan, apa yang tuan yakini bukanlah sains, tetapi hanyalah psuedosains – dan psuedo-sains tuan juga tidak sempurna!"

 

"PSEUDO-SAINS...? TIDAK SEMPURNA...?" Profesor melihat seolah-olah akan terkena sawan. Kelas menjadi gempar. Pelajar Muslim tetap tenang dan bersahaja, kelihatan sedikit senyuman di wajahnya.

 

Apabila ketegangan mula reda, dia menyambung, "Perhatikan, profesor, SAINS SEBENAR adalah untuk mencari atuan dan rekaan yang diletakkan Pencipta alam semesta ke dalam sistem perjalanan alam semesta, daripada mega sehinggalah kepada mikro, daripada yang dapat diukur kepada yang tidak dapat diukur. Pseudosains adalah agama ateis yang cuba menentang konsep ini dengan pemalsuan, manipulasi statistik, kebenaran yang tidak pasti dan lain-lain. Pseudo-sains mendakwa satu tenaga mistik yang tidak dikenali – dewa palsu buatan sendiri – menyebabkan Big Bang lalu memulakan satu proses evolusi yang bertentangan dengan kejadian sebenar. Golongan saintis ateis inilah yang cuba untuk menjustifikasikan kekarutan demi pembohongan melalui pemalsuan, ketidakpastian dan manipulasi data. Kebenaran pasti menang - kebenaran yang masuk akal yang dapat disimpulkan oleh sesiapapun, bahawa hanya ada satu Tuhan (Allah) Yang Maha Pencipta seluruh alam semesta. Dia menciptakan keseluruhan sistem di mana seluruh alam semesta berjalan sejak azali. Mari kita kembali ke hal yang tuan bangkitkan pada pelajar tadi dan yang saya katakan akan saya tangani kemudian. Saya akan berikan tuan satu contoh yang dapat difahami semua orang: Adakah sesiapa di dalam kelas yang telah melihat udara, molekul oksigen, atom, otak profesor?"

 

Gelak ketawa berderai di dalam kelas. 

 

"Ada sesiapa di sini yang pernah mendengar otak profesor, menyentuh, menghidu, atau merasanya?" Semua membisu. Pelajar Muslim menggelengkan kepadanya. "Nampaknya tiada seorangpun di sini yang mempunyai apa-apa persepsi indera tentang otak profesor. Jadi, menurut aturan pseudo-sains yang empirik, boleh diuji dan dibuktikan sebagaimana yang dikatakan oleh pofesor sendiri, SAYA DENGAN INI MENGISYTIHARkAN bahawa profesor tiada otak!" 

 

Profesor tua terduduk di kerusinya. Kumpulan pelajar bersorak sekali lagi dengan spontan.

 

Pelajar Muslim menghampiri dan memberi profesor sedikit air. Seketika kemudian, beliau pulih. Beliau merenung para pelajar. "Penghinaan kamu langsung tidak membuktikan kewujudan Tuhan."

 

Pelajar Muslim menjawab, "Profesor, saya sangat terkejut. Saya kira tuan akan mengalah. Nampaknya tuan mahu lebih banyak hukuman."

 

Dia berhenti sejenak, memerhatikan para pelajar dengan teliti sebelum memandang profesor. Dengan keluhan berat dia berkata lagi kepada profesor. "Tuan, tuan ada orang tua – tuan ada ayah dan ibu?"

 

"Satu lagi soalan bodoh kamu. Jelas bahawa kita semua mempunyai ibu bapa."

 

"Sabar, tuan. Apakah tuan pasti bahawa bapa tuan ialah bapa tuan yang sebenar, dan ibu tuan ialah ibu yang sebenar?"

 

Profesor berang. "Tak masuk akal! TENTU SAJA, BAPA SAYA IALAH BAPA SAYA DAN IBU SAYA IALAH IBU SAYA!" jeritnya.

 

Pelajar Muslim berhenti. Semakin lama. Tiba-tiba timbul satu atmosfera ngeri apabila pelajar Muslim duduk di hujung kerusi. Dengan suara yang tenang dan terkawal, dia berkata, "Buktikan kepada saya!"

 

Suasana menjadi tegang. Profesor tidak dapat mengawal diri. Keributan terpancar di wajahnya. "BERANI KAMU!" Beliau menjerit lebih kuat, betul-betul marah. "CUKUP DENGAN PENGHINAAN KAMU..! KELUAR DARI KELAS SAYA..! SAYA AKAN LAPORKAN KAMU KEPADA REKTOR...!

 

Para pelajar tergamam dengan peritiwa itu. Apakah profesor akan terkena sawan atau strok?

 

Pelajar Muslim tetap di tempatnya, tidak tergugat. Sambil mengangkat tangan dia menghadap kepada para pelajar, meyakinkan mereka bahawa tiada apa-apa yang perlu dibimbangkan. Dia lalu memandang profesor dengan simpati. Satu tenaga umpama muncul dari pandangannya, diarahkan pada profesor. Profesor mengalih pandangan. Renungannya jatuh. Kemarahannya reda. Beliau terduduk kembali di kerusi dan memegang kepalanya.  

 

Selepas beberapa minit, pelajar Muslim bersuara dengan perlahan. "Profesor, saya tidak bermaksud bahawa ibu bapa tuan bukan orang tua tuan. Apa yang saya ingin katakan adalah tiada siapapun di dalam kelas ini, termasuk tuan dan saya dapat buktikan bahawa ibubapa kita adalah orang tua kita atau tidak."

 

Sepi.

 

"Ini kerana kita tidak menyaksikan persetubuhan ibu bapa semasa kita dihamili. Kita tiada waktu itu untuk mengenalpasti sperma siapa sebenarnya yang menyuburkan ovum di dalam rahim ibu kita. Kami hanya mempercayai kata-kata ibu bapa kita bahawa mereka adalah orang tua kita. Kita anggap mereka jujur dan benar dalam hal itu. Kita tidak mempersoalkan integriti mereka. Dalam cara yang sama, anakanak tuan harus mempercayai kata-kata tuan bahawa tuan ialah bapa mereka dan isteri tuan benar-benar ibu mereka. Bukankah begitu, profesor?"

 

Profesor mendongak kepalanya. Beliau memandang pelajar Muslim. Kemarahannya mula reda setelah dapat sedikit kefahaman. Kemarahan itu hilang. Dengan perlahan-lahan dia mengulangi, "Kita percaya kata-kata ibu bapa kita... Kita percaya kata-kata ibu bapa kita..."

 

"Ya, profesor. Terdapat banyak perkara yang perlu kita percaya berdasakan perkataan orang lain. Kewujudan udara, oksigen, molekul, atom, dan sebagainya. Jadi, apabila timbul persoalan mengenai perkara yang metafizik, melalui penyelidikan saintifik sebenar kita tahu bahawa tiada manusia di dunia yang lebih jujur dan boleh dipercayai selain daripada mereka yang digelar Rasul. Kami sebagai Muslim sedia mengorbankan kehidupan kami pada hakikat bahawa Nabi Muhammad (Sejahtera dan salam ke atas baginda) mempunyai watak yang benarbenar sempurna. Baginda tidak pernah berbohong kepada sesiapa. Integriti beliau dikenali sehinggakan musuhnya turut menggelar baginda sebagai 'Al-Amin' (yang Jujur). Jika baginda bersabda bahawa Allah SWT itu wujud – dan kita percaya perkataan ibu bapa kita bahawa mereka adalah orang tua kita yang sebenar – maka dalam semua keikhlasan dan kejujuran, kita wajib mempercayai baginda, sepertimana juga kita perlu mengimani perkara lain – kewujudan syurga dan neraka; kewujudan para malaikat; kedatangan hari kiamat; pertanggungjawapan terhadap semua perbuatan kita di dunia ini; dan banyak konsep lainnya. Selain daripada hal ini, terdapat banyak petunjuk lain mengenai kewujudan Allah SWT. Wahyu terakhir yang dinamakan 'Al-Quran' ada untuk dipelajari oleh sesiapapun. Ia mempunyai cabaran tertentu untuk mereka yang meragui. Cabaran-cabaran ini tidak dipenuhi sejak 1400 tahun kewujudannya. Jika seseorang tidak bersedia untuk percaya kepada Rasul (Sejahtera dan salam ke atas baginda) seperti baginda, maka adalah satu kepura-puraan yang nyata untuk mempercayai perkataan saintis, yang doktrinnya kerap berubah, apalagi percaya pada kata-kata ibu bapa kita. Berdasarkan bilangan tuntutan perundangan yang berlaku etiap tahun di mahkamah kita, di mana ibubapa mengabaikan tanggungjawab terhadap keturunan mereka, serta mengambil kira jumlah tak terkira bayi yang lahir hasil daripada pendermaan sperma oleh lelaki asing, temasuklah hakikat bahawa banyak bayi diangkat sebagai anak sendiri oleh pasangan yang tiada anak, secara statistiknya wujud satu ruang kesilapan yang besar dalam tuntutan bahawa ibubapanya benar-benar orang tuanya.”

 

Pelajar Muslim menyimpulkan sambil menghadap para pelajar. "Adalah menjadi kewajipan setiap individu untuk belajar lebih lanjut mengenai Islam. 'Al-Quran' ada untuk dipelajari oleh semua orang. Tulisan-tulisan juga cukup disediakan mengenai Islam. Tugas saya untuk menyampaikan bahawa satu-satunya kebenaran adalah Islam. Tiada paksaan dalam beragama. Sesungguhnya telah jelas yang benar dari jalan yang salah; dan sesiapa yang menolak sembahan palsu dan beriman kepada Tuhan, telah berpegang kepada tali teguh yang tidak akan putus; dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Selain memaklumkan anda, juga menjadi kewajipan saya menjemput anda semua untuk menyertai persaudaraan Islam dengan memeluk Islam. Allah ialah Pelindung orang-orang yang beriman, Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan kepada cahaya. Adapun orang-orang yang kafir, penolong mereka ialah taghut. Mereka dibawa daripada cahaya kepada kegelapan... Itulah ayat-ayat dari Al-Quran – Perkataan Yang Mahakuasa – yang telah saya nyatakan kepada anda."

 

Pelajar Muslim itu melirik jam di tangannya. "Profesor dan rakan pelajar sekalian, saya berterima kasih kerana memberi saya peluang untuk menjelaskan isu-isu ini kepada anda semua. Maaf, saya perlu ke masjid untuk menunaikan solat. Sejahteralah orang-orang yang mendapat petunjuk."

 

 

- TAMAT -

 

Untuk bacaan lanjut mengenai Islam dan keruntuhan ateisme, sila lawati laman web berikut:

 

www.islamic-message.net  www.islamic-invitation.com www.islamgalaxy.com www.islamgreen.com www.waytoparadise.net 

www.mercyforhumanity.com 

 

1